Irfan tak jangka Terengganu akan belasah Selangor

KEKEBALAN benteng pertahanan Terengganu menjadi faktor utama, tuan rumah mampu meranapkan rekod bersih pendahulu Liga Super, Selangor dengan kemenangan besar 4-0 di Kuala Terengganu, kelmarin.

Bagi jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, benteng yang diterajui ketua pasukan, Marzuki Yusof, Helmi Remli, Ronny Harun dan Mohd Muhaimin Omar berjaya menyerap asakan lawan dengan baik sehingga penyerang skuad Merah Kuning sukar mencari ruang.

Selain itu, katanya, pemain-pemain lain turut bijak mengambil peluang khususnya jentera penggempur sehingga berjaya menekan lawan.

Pemain saya mempamerkan mutu persembahan hebat sehingga lawan terpaksa berputih mata.

Saya sedikit pun tidak menduga kami mampu menjaringkan empat gol kerana Selangor mempunyai ramai pemain berpengalaman.

Namun penyerang kami, Manaf Mamat bertindak bijak menjaringkan gol pertama pada minit ke-10 untuk menaikkan semangat juang rakan sepasukan sebelum sepakan penalti Ashaari Shamsuddin menyebabkan lawan hilang punca dan barisan pertahanan mereka mula goyah," katanya.

Sementara itu, jurulatih Selangor, K Devan berkata penyerangnya yang diketuai Mohd Safee Sali, Mohd Amri Yahyah, Mohd Amirulhadi Zainal dan Mohd Hardi Jaafar gagal memikul tugas dengan berkesan dalam melakukan percubaan ke gawang tuan rumah.

Barisan pertahanan saya juga gagal beraksi cemerlang sehingga tuan rumah mudah membolosi dan menjaringkan gol, katanya.

-- Berita Harian

You can leave a response, or trackback from your own site.

0 Response to "Irfan tak jangka Terengganu akan belasah Selangor"

Powered by Blogger