Prestasi Halim Napi kurang meyakinkan

PELUANG kembali beraksi dalam kesebelasan utama pada aksi menentang Johor FC malam kelmarin, bukan jaminan penjaga gawang veteran Kelantan, Halim Napi, akan kekal pada kedudukan itu.

Ini kerana, prestasinya ketika menyahut peluang yang diberikan itu, dilihat masih kurang memberangsangkan apabila gawangnya turut dibolosi lawan.

Mengakui keadaan itu, Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa, berkata keringat Halim hanya akan ditagih mengikut strategi serta kesesuaian pasukan ketika menentang lawan tertentu.

"Saya ingin memaklumkan di sini bahawa penjaga gol utama masih lagi Syed Adney Syed Husain (gambar) , manakala Halim setakat ini diletakkan sebagai penjaga gol ketiga.

"Kemasukan Halim bukan bermakna kami mengetepikan Syed Adney, cuma dia direhatkan bagi memulihkan semangatnya akibat kekalahan ketika menentang Kedah Selasa lalu.

"Malah, penjaga gol kedua juga akan digunakan khidmatnya nanti. Ketika ini, Kelantan mempunyai pemain yang mampu memenuhi keperluan posisi tertentu tanpa menjejaskan prestasi pasukan," katanya.

Awal musim ini, Halim dilantik sebagai pembantu jurulatih penjaga gol Kelantan, sebelum diberi peluang kembali beraksi dalam saingan ekoran aksi kurang meyakinkan Syed Adney.

Annuar berkata, khidmat pemain simpanan Kelantan juga akan digunakan sepanjang musim ini, bagi membolehkan mereka membuktikan mampu menyumbang kepada kejayaan kepada Red Warriors.

"Kalau tidak nanti, pemain simpanan akan terus menjadi simpanan sepanjang masa dan tidak dapat menunjukkan bakat mereka. Saya akan pastikan semua pemain mempunyai peluang, tanpa menjejaskan prestasi pasukan," katanya.

Jurulatih Kelantan, B Sathiananthan, juga tidak berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh Halim ketika aksi menentang Johor FC.

-- Berita Harian

You can leave a response, or trackback from your own site.

0 Response to "Prestasi Halim Napi kurang meyakinkan"

Powered by Blogger