Terengganu runtuhkan kekebalan Selangor

TERENGGANU menjadi pasukan pertama memusnahkan rekod cemerlang Selangor dalam saingan Liga Super musim ini.

Ia berlaku di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam yang menyaksikan pasukan yang mendapat jolokan Gergasi Pantai Timur itu membenam Selangor 4-0.

Pada perlawanan tersebut, Terengganu tidak menunggu lama apabila penyerang Abdul Manaf Mamat membuka tirai jaringan seawal minit kesepuluh.

Selangor yang dilihat terdesak mencari gol penyamaan terpaksa akur apabila Terengganu dihadiahkan sepakan penalti dan Ashari Shamsudin mudah menyempurnakan sepakan tersebut untuk selesa mendahului 2-0 pada minit ke-33.

Kedudukan tersebut kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Sebaik babak kedua bersambung, Selangor dilihat melancarkan serangan bertali arus ke kubu Terengganu untuk mencari gol pertama mereka.

Namun, kelalaian tonggak pertahanan Selangor telah memberi peluang kepada pemain Terengganu, Joseph Kalang Tee menjaringkan gol ketiga pasukannya pada minit ke-75 sebelum Ashari sekali lagi menyumpurnakan sepakan penalti yang diperoleh pada minit ke-92 bagi melengkapkan malam gemilang Terengganu dengan kemenangan 4-0.

Di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, KL Plus gagal memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri apabila hanya sekadar mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan dengan Kuala Lumpur.

Di Stadium Utama Negeri, Kangar, pasukan tuan rumah, Perlis berjaya menceriakan penyokong mereka apabila menewaskan Pulau Pinang 2-0.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, pasukan pelawat, Perak, berjaya mencuri satu mata selepas mengikat Kedah dengan 1-1.

-- Kosmo

You can leave a response, or trackback from your own site.

0 Response to "Terengganu runtuhkan kekebalan Selangor"

Powered by Blogger