Terengganu menang bergaya, lebur rekod tanpa kalah Selangor

KELEBIHAN beraksi di halaman sendiri tidak disia-siakan Terengganu untuk mencalar rekod megah tanpa kalah pendahulu takhta Liga Super, Selangor apabila membelasah pelawat itu 4-0 ketika pasukan jiran mereka, Kelantan turut ceria mencatat kemenangan besar menewaskan Johor FC, 4-1 di KOTA BHARU, malam tadi.

Terengganu meraih dua gol pada babak pertama perlawanan dalam pertembungan menarik dua pasukan teratas liga itu yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Manaf Mamat meledakkan gol pertama buat Terengganu pada minit ke-10 selepas bijak menyempurnakan peluang dengan menewaskan dua pertahanan Selangor, P Gunalan dan Khairul Anuar Baharom sebelum rembatan kencangnya gagal ditangkap penjaga gol Selangor, Hasmani Ahmad.

 Gol kedua tuan rumah hadir minit ke-32 hasil sepakan penalti apabila Hasmani menjatuhkan Manaf di kotak penalti dan Ashaari Shamsuddin tenang menyempurnakan sepakan untuk Terengganu mendahului 2-0 sehingga berakhir babak pertama.

Pada minit ke-78, Terengganu menambah derita barisan didik K Devan selepas Joseph Kalang menjaringkan gol selepas menerima hantaran cantik Manaf manakala gol keempat hadir hasil sepakan penalti Ashaari selepas Khairol terpegang bola di kotak penalti.

Di Stadium Sultan Mohamad IV, gol kemenangan Kelantan hadir seawal minit ke-18 menerusi jaringan Nor Shahrul Idlan Talaha diikuti jaringan Azizi Mat Rose minit ke-46, Indra Putra Mahayuddin (m-50) dan Mohd Farhan (m-72) manakala gol sagu hati Johor FC disumbang Mohd Riduan Moin, minit ke-21.

Di Stadium Darulaman, Kedah terpaksa berpuas hati untuk sekadar seri 1-1 dalam perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan bermain dengan 10 pemain pada baki 49 minit perlawanan dengan Razali Omar Kandasami terlebih dulu menjaringkan gol untuk pelawat.

Keputusan lain menyaksikan Perlis mengatasi Pulau Pinang 2-0 dan KL Plus seri 0-0 menentang Kuala Lumpur manakala dua perlawanan membabitkan Johor menentang T-Team dan Pahang melawan Negeri Sembilan ditunda berikutan kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail.

-- Berita Harian

You can leave a response, or trackback from your own site.

0 Response to "Terengganu menang bergaya, lebur rekod tanpa kalah Selangor"

Powered by Blogger